Daripada abu Yaala Syaddad Bin Aus RA daripada Nabi SAW sabdanya,"Orang yang bijak itu ialah mereka yang mengambil berat tentang dirinya dan beramal untuk selepas mati. Manakala orang yang lemah itu ialah mereka yang menurutkan hawa nafsunya sedangkan dia bercita-cita untuk menjadi hamba Allah yang diredhai

(Hadith riwayat at-tirmizi)

APA ITU KOLESTEROL


Pakar Perunding Bedah Jantung dan Paru-paru dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Madya Ramzisham Abdul Rahman berkata, kolestrol adalah lapisan lemak yang wujud secara semulajadi dalam semua bahagian dalam tubuh badan.

Kolesterol katanya, datang daripada dua sumber. Satu daripada badan dan satu lagi daripada makanan. Hati dan sel dalam badan menghasilkan kira-kira 75 peratus daripada kolesterol dalam darah. Selebihnya ia datang daripada apa yang anda makan. Kolesterol hanya ditemui dalam makanan berasaskan haiwan.

Mungkin anda terperanjat jika dikatakan kolesterol itu sendiri tidak jahat. Sebenarnya, kolesterol adalah satu daripada bahan yang dihasilkan badan untuk kekal sihat. Sesetengah kolesterol yang kita perlukan dihasilkan secara semula jadi (boleh juga dipengaruhi sejarah keluarga), manakala sesetengah lagi diperolehi daripada makanan yang kita ambil,” katanya yang juga merupakan Pensyarah Kanan pusat perubatan tersebut.

Namun menurutnya, jika paras kolestrol terlebih dalam darah, ia akan melekat pada dinding arteri dan ini dipanggil plak.

Katanya, plak boleh mengecilkan arteri atau menyekat terus perjalanan darah dan seterusnya meningkatkan risiko sakit jantung dan strok. Paras kolesterol juga meningkat sejajar dengan peningkatan umur.

Jelasnya lagi, tidak ada tanda seseorang itu mempunyai paras kolesterol yang tinggi dalam darah.

Anda mungkin mempunyai paras kolestrol tinggi disebabkan keturunan, obesiti dan mengambil makanan yang berlemak terutama sekali dalam musim perayaan begini,” kata beliau.

Sambil menegaskan hari raya bukanlah tiket untuk bebas menikmati apa sahaja hidangan disebabkan telah berpuasa selama sebulan, Prof Ramzisham menasihatkan pembaca agar berhati-hati ketika menjamu selera terutama kepada mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi, diabetis, jantung dan juga kepada individu yang merokok.

Jenis kolestrol


Terdapat dua jenis kolesterol, iaitu kolestrol baik (HDL) dan kolestrol jahat (LDL). Adalah penting setiap individu memahami dan tahu paras baik dan jahat kolesterol dalam darah.

“Lebih salah satu atau kurang daripadanya meletakkan diri dengan risiko penyakit jantung koronari, serangan jantung dan strok,” katanya.

Jelas beliau, kolestrol HDL adalah kolestrol baik yang membantu kolestrol LDL daripada berkumpul dan menyekat dinding arteri.

Paras HDL yang sihat juga melindungi tubuh daripada serangan jantung dan strok, manakala paras HDL yang rendah (kurang daripada 40mg/dL untuk lelaki dan kurang daripada 50 mg/dL untuk wanita) terbukti meningkatkan risiko penyakit berkaitan jantung.

Jika anda ingin meningkatkan HDL, kajian menunjukkan senanan biasa boleh membantu badan menghasilkannya. Mengurangkan pengambilan lemak trans dan mengambil pemakanan seimbang, diet berkhasiat juga boleh membantu. Jika kedua-dua cara itu tidak berkesan, doktor akan memberi ubat khas bagi membantu meningkatkan HDL.

Dalam pada itu, jika terlalu banyak LDL dalam darah, ia boleh menyumbat arteri, meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.

LDL dihasilkan secara semula jadi oleh tubuh, tetapi kebanyakan individu mewarisinya daripada ibu, bapa atau datuk dan nenek. Pemakanan mengandungi lemak tepu, lemak trans dan kolesterol juga meningkatkan paras sedia ada anda,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau lagi, jika paras kolestrol tinggi dalam darah diwarisi daripada keturunan, mengubah cara hidup dan diet masih belum mencukupi untuk menurunkan paras LDL.

Menurutnya, setiap individu berbeza. Jadi mereka perlu mendapatkan pandangan doktor untuk pelan rawatan terbaik yang patut dilakukan.

Di Amerika Syarikat katanya, penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu. Hampir 2,300 penduduknya mati akibat penyakit kardiovaskular setiap hari, secara purata satu kematian setiap 38 saat.

Beliau juga menyarankan kepada mereka yang rasa bertanggungjawab terhadap kesihatan diri terutamanya yang mempunyai risiko tinggi membuat saringan kesihatan di klinik atau pusat-pusat kesihatan di bulan Syawal ini untuk mengelakkan penyakit yang tidak diundang demi bertemu Ramadan dan Syawal tahun hadapan.




Credit to Hadhatina(yoursupermom.blogspot.com)

Selepas pemeriksaan, kolesterol darah saya didapati berada pada tahap tinggi. Kini saya sedaya upaya memilih makanan sihat. Selain itu apakah nasihat untuk mereka yang mengalami kolesterol tinggi?

JAWAPAN

Masalah kolesterol tinggi bukanlah penyakit tetapi memberi komplikasi yang digeruni iaitu meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dan strok. Kolesterol berlebihan akan berkumpul dan membentuk plak yang menyumbat dinding arteri. Memandangkan timbunan plak ini terus bertambah dan makin menebal, aliran darah akan menjadi semakin perlahan dan mungkin terhenti.

Bagi mereka yang ingin mengurangkan paras kolesterol, perubahan dari segi gaya hidup dan cara pemakanan harus dilakukan, seperti:

* Mengurangkan berat badan sekiranya anda bermasalah dengan berat berlebihan. Untuk mengurangkan atau mengekalkan berat badan, kita perlu menggunakan kalori berlebihan daripada makanan dan mengurangkan pengambilannya mengikut jumlah yang diperlukan. Ini kerana apabila pengambilannya melebihi daripada tenaga yang digunakan, kalori berlebihan akan ditukar kepada lemak dan mengakibatkan pertambahan berat badan.

* Bersenam secara tetap (sekurang-kurangnya 30 minit senaman tahap sederhana, sekurang-kurangnya 5 kali seminggu) boleh mengurangkan kolesterol total dan kolesterol berbahaya (LDL) serta meningkatkan kolesterol baik (HDL).

* Merangkumi buah-buahan dan sayuran dalam hidangan harian (5 hidangan sehari) didapati boleh meningkatkan kolesterol HDL

* Berhenti merokok sekiranya anda seorang perokok memandangkan merokok boleh merendahkan kolesterol HDL

* Memperbaiki cara pengawalan stres juga sangat dicadangkan.

Semenjak tahun 70-an, red yeast rice didapati berkesan untuk merendahkan LDL, trigliserida dan kolesterol total. Walau bagaimanapun, pilihlah red yeast rice yang dipiawaikan kandungan ekstraknya berbanding dengan yang tidak dipiawaikan yang sukar untuk diramal.

Red yeast rice terhasil daripada fermentasi beras dengan yis merah, yang memberikan warna merah gelap kepada nasi. Ia mengandungi monacolin yang menghalang aktiviti enzim HMG-CoA reductase yang terlibat dalam penghasilan kolesterol dalam tubuh. Dalam ujian ke atas 502 orang pesakit hiperlipidemia, ia didapati dapat menurunkan 17 peratus kolesterol total. Secara purata Kolesterol LDL diturunkan sebanyak 24.6 peratus dan serum trigliserida 19.8 peratus. HDL kolesterol meningkat sehingga 12.8 peratus dalam kumpulan rawatan.

Selain itu, vitamin E tokotrienol juga didapati memberi manfaat dalam mengurangkan paras kolesterol total dan jantung secara keseluruhannya.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan